fbpx

‘Apabila ramai hentam BAM tiada hati perut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai pemain badminton kelahiran BAM.
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

KEMELUT antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia sebelum ini sedikit sebanyak menjejaskan reputasi badan induk sukan badminton tanah air tersebut.

Apa tidaknya, sebahagian besar peminat sukan tanah air menggunakan peluang tersebut untuk ‘menghentam’ BAM selain melabelkan tindakan persatuan itu sebagai kejam dan tidak berhati perut.

Sebelum ini, BAM membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dalam mana-mana kejohanan selama dua tahun selepas dia mahu meninggalkan persatuan dan bergerak secara profesional.

Tindakan tersebut nyata bukan sahaja dikecam oleh peminat sukan tanah air, malah turut menarik perhatian beberapa pemain ternama dunia terma­suk pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor ­Axelsen.

Selepas isu tersebut berlarutan hampir seminggu, BAM menerusi Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria akhirnya memberi restu kepada pemain No.7 dunia itu untuk bergerak secara profesional dan menggugurkan hukuman terhadapnya.

Meskipun BAM diserang bertalu-talu selain dilabelkan sebagai tidak menjaga kebajikan pemain, namun penulis me­nganggap persatuan itu masih tempat terbaik dalam menghasilkan pemain bertaraf dunia.

Apakah kita semua sudah lupa di manakah tempat legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei digilap sehingga menjadi salah seorang jaguh setan­ding ikon badminton dunia, Lin Dan jika bukan di BAM.

Meskipun dikatakan mengamalkan gaya hidup terlalu ketat ala latihan tentera, namun penulis berpendapat itulah harga yang perlu dibayar oleh setiap pemain dalam usaha untuk menjadi pemain disegani.

“Sangat gembira selepas BAM dan Zii Jia berjaya mencapai jalan penyelesaian terbaik. Tidak ada sesiapa yang kalah atau menang dalam hal ini kerana sudah dapat diselesaikan dengan baik.

“Bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa BAM sentiasa akan jadi tempat terbaik buat setiap pemain (untuk kembangkan karier). Apa pun, selamat maju jaya buat Zii Jia,” kata Chong Wei yang setia bersama BAM sepanjang 19 tahun kariernya.

Justeru, semua pihak terutama peminat sukan tanah air kini tidak perlu lagi menuding jari terhadap sesiapa berhubung isu tersebut memandangkan BAM sudah pun mengambil langkah terbaik demi menjaga kepenti­ngan sukan negara.

Dalam pada itu, sudah tiba masanya peminat sukan di seluruh negara memberikan soko­ngan padu kepada skuad badminton negara menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 yang dijadualkan berlangsung 15 hingga 20 Februari ini.

BAM masih mengekalkan sikap terbuka apabila menjadikan Zii Jia sebagai pemain utama biarpun sudah bergerak secara profesional seiring dengan hasrat BAM yang mahu badminton negara digerakkan oleh dua ‘enjin’ (BAM dan profesional).

Sementara itu, bekas perseorangan lelaki No.1 dunia, Datuk Rashid Sidek berharap Zii Jia akan membalas kepercayaan diberikan BAM serta pihak yang menyokongnya dengan menampilkan aksi terbaik biarpun sudah bergelar pemain profesional.

“Zii Jia perlu buktikan walaupun sudah berada di luar BAM, dia masih boleh mempamerkan prestasi terbaik. Dia perlu menghasilkan keputusan yang baik dengan menjadi juara dalam kejohanan disertainya.

“Ini juga peluang dia membuktikan yang keputusannya untuk keluar daripada BAM bukan semata-mata disebabkan wang. Tidak kira berada di dalam BAM atau luar, paling penting adalah disiplin dan komitmen,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI