PUTRAJAYA – Jangan pilih dan guna angka 13 kerana ia mungkin membawa sial dan tidak bertuah.
Itu antara pantang larang yang masih diamalkan segelintir umat Islam di negara ini kerana percaya angka berkenaan tidak akan membawa tuah kepada diri mereka.
Tapi, tahukah bahawa Islam melarang sama sekali umatnya daripada mengaitkan hari tertentu, atau bulan tertentu, atau kejadian tertentu, mahupun angka tertentu kepada sesuatu perkara malang dan sial.
Menjelaskan perkara itu, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, kesemua perkara itu jelas ditegah oleh Islam kerana ia menjerumuskan kepercayaan bahawa sesuatu musibah itu adalah datang daripada makhluk.
Menurutnya, mempercayainya juga boleh merosakkan sifat tawakal seseorang kepada Allah S.W.T sedangkan Islam mengajak umatnya untuk sentiasa optimis dan bersangka baik dengan segala apa yang berlaku.
“Hal ini seperti seseorang mengaitkan angka tertentu dengan nasib malang dan sial yang dilaluinya.
“Begitu juga seperti mengaitkan bulan-bulan tertentu dengan nasib malang lalu menghindari daripada mengadakan majlis-majlis tertentu pada bulan tersebut,” katanya.
Katanya, umat Islam hendaklah sentiasa bertawakal dan bersangka baik kepada Allah SWT apabila berlaku sesuatu musibah, bukan menyalahkan angka tertentu atau hari tertentu dengan menganggapnya sebagai angka atau hari sial.
Selain percaya angka 13 membawa sial, segelintir masyarakat Melayu masih percaya bahawa ada bulan-bulan tertentu tidak elok diadakan kenduri kahwin dan membina rumah. – K! ONLINE