fbpx

Shidee alami batuk berdarah selepas kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHIDEE mengalami batuk berdarah selepas dibenarkan pulang dari hospital.

PETALING JAYA – Penyanyi popular era 1980-an, Shidee yang disahkan doktor hanya mengalami kecederaan ringan selepas kemalangan terjatuh dari skuter elektrik pada petang semalam kini mengalami batuk berdarah.

Shidee atau nama sebenarnya Rashid Abdul Wahab, 63, ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi memberitahu, dia mengalami batuk berdarah selepas dibenarkan pulang dari hospital.

“Memang doktor kata saya hanya mengalami kecederaan ringgan seperti luka kecil dan bengkak pada bahagian muka. Malah, hasil imbasan sinar-X juga mendapati tiada sebarang keretakan pada mana-mana bahagian tulang.

“Cuma selepas saya pulang ke rumah, tiba-tiba saya mengalami batuk berdarah. Ketika di hospital tidak pula saya batuk berdarah.

“Disebabkan bimbang, mungkin ada kecederaan dalaman, sebentar lagi saya akan ke hospital semula untuk menjalani pemeriksaan secara menyeluruh,” ujar Shidee.

Mengimbas kembali kejadian tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu Semuanya Sudah Terlambat itu menaiki skuter elektrik untuk menunaikan solat Asar di surau yang terletak sekitar 300 meter dari kediamaannya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Shidee bagaimanapun tidak dapat mengingati secara jelas sama ada dia dilanggar atau pun terjatuh dari skuter elektrik dengan sendirinya.

“Kebiasaannya saya berjalan kaki ke surau yang lama. Namun, surau baru ini agak jauh sedikit, jadi saya menaiki skuter elektrik.

“Saya sendiri tidak ingat saya dilanggar atau pun terjatuh sendiri. Apa yang saya ingat adalah, saya mahu ke surau menaiki skuter elektrik sahaja.

“Sedar-sedar saya sudah berada dalam ambulans untuk ke hospital. Mungkin ada saksi kejadian, tetapi setakat ini masih belum ada sesiapa yang datang berjumpa saya berhubung kemalangan tersebut,” kata Shidee.

Selepas kemalangan yang berlaku pada petang semalam, Shidee telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), untuk menerima rawatan dan disahkan doktor tiada sebarang kecederaan serius.

Shidee kembali meraih perhatian peminat selepas menyertai program realiti Gegar Vaganza musim kelapan baru-baru ini. Dia bagaimanapun gagal mara ke peringkat akhir apabila tersingkir pada minggu kesembilan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI