fbpx

Rubama pakar jam tangan mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rubama menunjukkan koleksi jam tangan mewah di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM – Wanita sering dikaitkan dengan beg tangan serta jam tangan kerana ia dianggap sebagai satu lambang kecantikan, keperibadian diri dan juga status kemewahan seseorang.

Ada yang sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk memiliki­nya sama ada berkunjung untuk membeli sendiri di butik atau memesan dari platform e-dagang atau menggunakan khidmat personnel shopper untuk mendapatkan produk tulen di luar negara.

Tidak kira jam atau beg tangan mewah itu baru dibeli atau yang terpakai, namun para peminatnya mahukan produk yang tulen serta mampu dijadikan sebagai aset bernilai tinggi untuk pelaburan jangka panjang.

Menyedari hakikat tersebut, usahawan dari Raub, Pahang, Rubama Arpan, 36, telah mula menceburi bidang penjualan jam mewah terpakai dan baharu sejak 18 tahun lalu dengan pe­ngalaman bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai di Selangor sebelum ini.

“Mungkin kerana minat, saya lama bekerja di kedai tersebut untuk menimba pengalaman.

“Saya juga adalah satu-satunya jurujual wanita berbangsa Melayu yang bertuah mendapat majikan yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Lebih bebas bekerja sendiri, wanita ini telah membuka perniagaannya sendiri di bawah empayar Time & Times Luxe Empire sejak suku keempat tahun lalu dan bercadang untuk membuka butik di sebuah pusat beli-belah tidak lama lagi.

Tunjuk ajar daripada ‘sifu’ amat berbaloi sehingga beliau digelar sebagai pakar jam tangan mewah kerana hanya melihat sekilas pandang, usahawan muda ini boleh menilai sama ada jam tangan tersebut tulen atau sebaliknya.

Beliau diajar secara keseluruhan mengenai enjin jam dan ja­rum yang terdapat di dalam­nya, sehingga mampu membuka dan memasang satu-satu jam kembali tanpa menjejaskan kuali­tinya secara dalaman dan luaran.

Lebih istimewa, Rubama juga mampu mengingati setiap jenama jam mewah, model, bentuk klasik, kuasa enjin, detik jam dan tahun jam dibuat serta sejarah di sebalik produk berkenaan.

Menurutnya, lebih unik cerita di sebalik pembuatan jam tersebut, maka akan lebih bernilai tinggi jam tersebut di pasaran apatah lagi jika ia telah digunakan oleh seseorang yang ternama di pasaran global.

Pengasas syarikat Time & Times Luxe Empire itu mula memiliki jam terpakai berjenama Rolex pada harga kira-kira RM5,000 dan selepas beberapa tahun memakainya, harga jualannya telah mencecah kepada kira-kira RM20,000.

Bermula daripada transaksi sulung yang membolehkan beliau mengaut keuntungan berlipat kali ganda, telah memberi idea kepadanya untuk lebih serius mengasah bakat untuk mendalami pelbagai jenama jam mewah di pasaran.

“Jam mewah bukan semata-mata jenama Rolex sahaja tetapi sebenarnya banyak lagi nama lain yang terkenal se­perti Patek Philippe, Piaget dan Richard Mille,” jelasnya.

Wanita ini berminat untuk melabur dalam jam tangan mewah berbanding melabur dalam sektor hartanah atau saham dan emas kerana nilai sesuatu jam tidak pernah turun dan ia tidak bergantung kepada pasaran semasa.

Di Malaysia, nama Rubama agak terkenal dalam kalangan jutawan terkenal khususnya kerana pelanggannya lebih memahami cara beliau berniaga dan perkhidmatan terbaik secara profesional yang ditawarkan.

Melibatkan transaksi ratusan dan jutaan ringgit itu tidak langsung menggugat keberanian beliau sebagai seorang wanita ke­rana beliau sudah ‘terlalu masak’ dengan kerenah pelanggannya termasuk niat penipuan mereka yang bermasalah.

Mengulas mengenai kesan pandemik terhadap perniagaan jam mewah dalam kalangan rakyat Malaysia, wanita itu me­nerangkan, bisnes tersebut tidak terkesan dengan krisis kesihatan yang melanda, malah mendapat perhatian yang baik daripada para peminatnya.

Menurut Rubama, memandangkan jam tersebut boleh dijual semula dengan nilai yang tinggi, maka ini adalah peluang untuknya mengumpul koleksi tersebut dan bakal menjualnya di pasaran pada harga yang lebih baik pada masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI