fbpx

PPMM mohon segerakan pengeluaran permit import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) memohon pihak kerajaan menyegerakan pengeluaran permit import (AP) ayam bulat bagi pengusaha-pengusaha pasar raya besar.

Presidennya, Che Hassan Che Johan berkata, isu kenaikan harga barang terutamanya bahan mentah termasuk ayam, sayur dan telur ayam sememangnya sangat memeranjatkan pengguna kerana harga barang yang dijual ketika ini selalunya berlaku pada musim perayaan sahaja.

“AP bagi mengimport ayam bulat patut dah lama dibuka kepada pengusaha pasar raya besar, sebelum ini AP hanya hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.

“Kerajaan juga disarankan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Che Hassan, kerajaan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) harus memikirkan satu solusi agar dapat menghapuskan peranan orang tengah yang menjadi antara faktor kenaikan harga barang.

“Penglibatan orang tengah itu dimaklumkan sendiri oleh peniaga ayam, telur dan sayuran.

“Sebagai contoh, sayur bendi dijual dengan harga RM8 sekilogram di pasar itu sedangkan harga di ladang hanya RM4 sekilogram.

“Barang basah dari kilang atau daripada petani akan melalui orang tengah mungkin tiga hingga empat orang, dan setiap orang telah mengambil untung RM1 atau RM2 bagi satu barang jadi bila sampai di pasar mereka sudah menjual dengan harga yang tinggi,” jelasnya.

Selain itu, beliau memaklumkan pihaknya telah membuat tinjauan dan pemeriksaan harga oleh peniaga di Pasar Besar Selayang pada minggu lepas.

“PPMM juga telah memeriksa harga asal dan harga jualan oleh peniaga pasar, ternyata kenaikan harga barang bukan daripada peniaga,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membekalkan bahan mentah kepada peniaga bagi mengawal harga di pasar basah.

Sementara itu, beliau mengakui isu kenaikan harga barang mentah sudah berlaku sejak dari dahulu lagi.

“Tidak kira kerajaan mana yang mentadbir, masalah ini sering timbul dan yang menjadi mangsa adalah pengguna yang tiada pilihan.

“Kenaikan harga barang mentah juga membebankan peniaga makanan yang terpaksa menaikkan kos kerana tidak mahu terus menanggung rugi,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI