PEMILIK pasukan WithU RNF MotoGP Team, Datuk Razlan Razali mengakui, beliau kini boleh bergerak secara profesional tanpa sebarang gangguan ketika sedang bekerja keras membina sebuah pasukan MotoGP terbaik.
Razlan menegaskan, sebelum ini beliau terpaksa menghadapi masalah birokrasi serta campur tangan politik sekali gus menyebabkan pasukan yang pernah ditubuhkannya pada 2019 ‘bungkus’ tahun lepas sebelum menubuhkan pasukan baharu musim ini.
Program yang dirangka Razlan terutama hasrat untuk meletakkan pelumba Malaysia di pentas dunia musnah selepas penarikan penajaan saat-saat akhir memaksanya menutup pasukan Moto3 dan juga Moto2.
“Musim 2022 ada sedikit kelainan kerana mungkin saya tidak lagi menerima sebarang gangguan daripada pengaruh politik, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau mana-mana cadangan yang mengarut.
“Bagi saya bekerja dengan syarikat antarabangsa lebih mudah kerana mereka tahu apa yang diperlukan dan kita hanya lakukan terbaik sahaja. Mereka mahir dalam bidang ini dan tahu objektif sebenar.
“Mereka tak fikir benda remeh-temeh. Perkara seperti ini buat saya geram dan menyusahkan kerja kita terutama masalah birokrasi politik dan sebagainya.
“Cuma, saya kecewa dan pening untuk mencari di mana silapnya saya. Kita telah buat terbaik dalam tempoh tiga tahun ini, malah turut mempunyai program perjalanan bagi pelumba Malaysia.
“Bagi saya tindakan penaja tarik diri saat akhir adalah satu keputusan terburu-buru dan akibatnya tahun ini kita tiada wakil negara di MotoGP. Sebagai anak Malaysia saya sedih, tetapi nak buat macam mana.
“Jika mereka (penaja) beri tempoh setahun lagi, saya yakin kita mampu mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan pasukan tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada sesi ujian pramusim pasukan MotoGP di Sepang semalam.
Ketika ditanya mengenai kritikan terhadap pasukannya, Razlan menegaskan dia tidak ambil pusing masalah tersebut sambil menganggap ia sebagai pembakar semangat.
“Saya dihujani kritikan gara-gara tidak meletakkan pelumba Malaysia, tetapi perlu diingat, ketika itu pelumba muda Malaysia belum bersedia.
“Apapun, segala kritikan yang dilontarkan kepada saya adalah satu semangat. Malah, saya tidak kisah kritikan netizen kerana ketika ini saya menjaga kepentingan diri saya.
“Saya ambil risiko sendiri, duit sendiri, masa dan sebagainya. Apa yang saya tahu, saya masih ada peminat di luar sana dan saya akan buat terbaik buat mereka. Suara-suara sumbang saya akan tutup telinga dan jalan terus,” tegasnya.
Sejak menjadi prisipal pasukan satelit Yamaha tiga tahun lalu, Razlan berjaya memacu pasukan kendaliannya menjadi pasukan bebas terbaik dua tahun berturut-turut pada 2019 dan 2020.
Razlan kini mendapat sokongan daripada Yamaha selain turut mendapat hak entri MotoGP bersama Dorna bermula 2022 hingga 2026.