SEBERAG PERAI – Penduduk di Kampung Kebun Baru, Nibong Tebal di sini yang diarahkan berpindah ke kawasan lebih selamat sebelum ini berikutan kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung dibenar pulang ke rumah masing-masin hari ini.
Mereka dibenarkan pulang selepas kira-kira dua minggu ditempatkan di rumah saudara mara dan dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan cerapan terkini dan ulasan teknika Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, kualiti udara di sekitar kawasan Kampung Kebun Baru adalah semakin baik.
“Penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing bermula 7 Februari (hari ini).
“Bagi (kawasan) Ladang Byram, penduduk masih dinasihatkan untuk tidak kembali ke rumah dan pemantauan akan diteruskan oleh JAS sehingga bacaan kualiti udara stabil diperolehi,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan kejadian kebakaran kira-kira tiga minggu lalu itu membabitkan kawasan tapak pelupusan sampah seluas kira-kira 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar.
Kejadian itu menyebabkan sebanyak 86 keluarga dengan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka selain sepuluh buah sekolah turut ditutup tiga hari.
Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri telah menamatkan operasi pada hari ke-20, manakala usaha pemadaman kira-kira satu peratus baki kebakaran diteruskan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai. – K! ONLINE