SEMAKIN galak menggerakkan langkah dalam dunia lakonan, pemilik nama lengkap Muhammad Hairi Amin Hamdan itu bukan mengenepikan hakikat bahawa dunia muzik adalah cinta utamanya.
MK, 26, sedar bahawa dari kaca mata peminat sejak kebelakangan ini, tumpuan kerjayanya sepertinya terarah ke cabang lakonan dan muzik sedikit terbelakang, namun perihal tersebut tidak menjadi satu kebingungan buatnya.
Selepas drama rantaian The Hotel dan Oh My Hantaran serta filem Marabahaya Underground, lelaki asal Tawau, Sabah bakal muncul dengan telefilem berjudul Rompak, sekali gus menguatkan jenamanya sebagai seorang aktor.
“Apa sahaja peluang yang ada, saya ambil. Mungkin rezeki sekarang lebih terarah ke arah lakonan dan saya sendiri tak menafikan perkara tersebut.
“Bagaimanapun, dalam bidang ini (lakonan) banyak lagi aspek yang perlu saya perbaiki sebab saya masih baharu, semestinya banyak ilmu yang perlu saya timba untuk terus bergerak maju,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ditebak pertanyaan sama ada loghat Sabah yang masih pekat menjadi masalah buat pengarah sepanjang melentur lakonannya, jawab MK: “Saya rasa loghat Sabah saya dah okey sikit berbanding mula-mula datang KL (Kuala Lumpur)dahulu. Tak terlalu pekat (loghat) Sabah, tak terlalu KL (tertawa).
“Setakat ini, semua produksi yang saya terlibat sebagai pelakon memang tiada masalah dengan loghat saya.
Loghat pekat Sabah
“Peminat pun tiada kritik lebih-lebih waima pengarah sendiri selesa saya menjadi diri sendiri dalam naskhah arahan mereka. Tetapi, kalau pengarah minta saya ‘kurangkan’ sedikit loghat Sabah, saya bersedia untuk belajar dan memang itu tugas seorang pelakon.”
Tutur graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, apa pun yang berlaku muzik tetap menjadi keutamaan walaupun kesibukan kini dengan projek lakonan di sana sini.
“Saya akui kerjaya nyanyian memang tak berapa bergerak tetapi dengan K-Clique, ‘something big’s coming’. Kami akan meluncurkan album debut tahun ini. Apa pun terjadi, tahun ini (album K-Clique) memang kena bertemu peminat.
“Bukan saya ‘merajuk’ nak bikin muzik sendiri tapi saya jenis pemuzik yang suka bertemu dengan penonton kalau buat persembahan. Sekarang ini, keadaan satu dunia disebabkan pandemik Covid-19 masih tidak menentu. Kita jalan sahaja tengok bagaimana perginya,” katanya.
Resam berstatus pelakon baharu, pasti ada sahaja kritikan tentang kualiti lakonan dan MK tidak terkecuali. Katanya, dilabel sebagai ‘pelakon kayu’ tidak mematahkan semangat untuk terus memberikan yang terbaik.
“Kalau orang label pelakon kayu, itu menjadi satu motivasi buat saya.
“Saya sedar diri yang diri ini masih baharu dan belajar. Kritikan menjadi pembakar semangat buat saya untuk memberikan yang lebih baik pada masa hadapan,” jelasnya.
Teman wanita, masih belajar agama
Meneruskan perbualan, pelantun lagu Sapu Rata itu diajak menyentuh sedikit tentang status hatinya, sama ada sudah ‘berpunya’ atau sebaliknya. Dia mempunyai alasan tersendiri mengapa perihal teman wanita tidak diuar-uarkan kepada umum.
Diam atau tidak mencanang perihal terbabit bukan bermakna menyorok kisah kekasih, namun banyak hati yang perlu dijaga demi kepentingan bersama.
“Sekarang ini, saya bekerjasama dengan banyak pihak. Jadi, saya perlu mengawal kelakuan dan menjaga imej.
“Setakat ini, saya akan kongsi sahaja kalau ada apa-apa yang perlu dikongsi.
“Cuma sekarang, saya nak menunjukkan imej yang baik. Menjadi contoh yang baik buat orang ramai, itu sahaja,” katanya.
Ditanya sama ada dirinya sudah berpunya atau belum, jawab MK: “Saya belum (berpunya), insya-Allah belum. Kena selidik jauh-jauh sikit.
“Saya sedang dalam proses memperbaiki diri dan menyayangi orang-orang yang ada di sekeliling. Mereka yang berada di belakang saya sekarang.
“Ibu di kampung pun tiada paksaan (tentang jodoh). Target untuk berumah tangga belum ada tapi insya-Allah tengok rezeki macam mana, kalau ada.”
Bercakap tentang proses mendekatkan diri ke jalan agama, pelakon drama rantaian The Hotel itu memaklumkan, perjalanan rohaninya tetap berterusan, namun untuk berkongsi dalam sosial media, dia memilih untuk simpanan perbadi.
“Masih (belajar agama) tapi cuma jarang kongsi dalam sosial media. Bukan apa, saya takut orang label saya riak dan menunjuk-nunjuk.
“Insya-Allah, masih lagi mendekatkan diri (kepada agama) dan terus memperbaiki diri menjadi orang lebih baik.
“Sebab saya sedar, sekarang ramai yang jadikan kita sebagai ‘role model’. Dari golongan kanak-kanak dan orang dewasa, menjadi tugas saya tunjukkan contoh yang baik,” ujarnya menggulung perbualan.