PETALING JAYA – Perbuatan melamar wanita di hadapan khalayak ramai adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, perkara itu kerana ajaran agama Islam menggalakkan lamaran atau pinangan dilakukan secara tertutup.
Katanya, Islam juga mendidik umatnya agar menjaga maruah diri sendiri dan orang lain agar tidak dicemari oleh perbuatan yang tidak selayaknya dilakukan.
“Islam menggalakkan agar lamaran itu melalui wali kepada wanita yang ingin dinikahi.
“Ini bertujuan menjaga maruah kedua-dua belah pihak dan memberi rang masa yang cukup untuk wanita yang dipinang itu berfikir sebelum membuat keputusan,” katanya di sini hari ini.
Menurut perkongsian itu katanya, melamar wanita secara terbuka di hadapan khalayak ramai juga adalah lebih berkait dengan adat dan budaya masyarakat setempat.
Justeru itu, umat Islam disyorkan untuk menjauhi perbuatan tersebut kerana ia bukan satu budaya Islam, malah bukan budaya masyarakat Melayu. – K! ONLINE