GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa pakar-pakar dari The Institution of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Pulau Pinang untuk bekerjasama memastikan punca utama punca berlakunya insiden takungan air di bahagian penghujung jejantas Jalan Bukit Kukus menghala ke Jalan Tun Sardon di sini Sabtu lalu.
Menurut MBPP dalam satu kenyataan, pihaknya berasa kesal atas kejadian tersebut kerana insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku.
“MBPP telah mempelawa pakar-pakar dari IEM untuk bekerjasama dengan MBPP dan jurutera perunding MBPP bagi memastikan punca utama kejadian tersebut serta memberi khidmat nasihat terutamanya dari aspek teknikal,” kata kenyataan itu hari ini.
Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dikenali sebagai jalan berkembar tertinggi di Malaysia ditakungi air selepas hujan lebat pada petang Sabtu lalu.
Video berdurasi 10 saat mengenai kejadian ‘banjir’ sedalam kira-kira 0.5 meter itu tular di laman sosial dan mendapat kecaman ramai malah ada yang melahirkan kekecewaan apabila mendakwa projek itu tidak mempunyai sistem saliran yang baik.
Kenyataan itu menambah, MBPP dengan kadar segera telah mengarahkan jurutera perunding projek MBPP dan kontraktor untuk turun padang bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Siasatan awal telah menunjukkan takungan air tersebut berlaku disebabkan sampah sarap yang banyak serta daun-daun kering yang telah menghalang laluan air mengalir ke sistem perparitan sedia ada.
“Kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan dengan serta-merta dan MBPP amat memandang serius insiden yang berlaku ini,” katanya. – K! ONLINE