PUTRAJAYA – Personaliti terkenal, Mat Dan turut tidak ketinggalan membantu pihak berkuasa dalam membendung kes kemalangan maut pelanggaran haiwan liar yang melintas jalan raya.
Ini termasuk penampilan eksklusif beliau menerusi video khidmat pesanan masyarakat yang diterbitkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin.
Dikenali kefasihan bertutur dialek Terengganu, beliau berkata, ‘wildlife roadkill’ merupakan salah satu faktor menyebabkan populasi hidupan liar semakin diancam kepupusan.
“Sebagai warganegara yang prihatin, sekiranya anda ada terlihat papan tanda hidupan liar di tepi jalan, sila perlahankan kenderaan anda untuk mengelakkan daripada nahas berlaku.” ujarnya.
Mat Dan atau nama penuhnya Mohammad Kareef Daniel Abdullah, 32, yang bertugas sebagai juruhebah stesen radio Molek FM, turut merupakan Duta Jabatan Alam Sekitar sejak 2016.
Pemilihan beliau dilihat sebagai antara cara promosi unik agensi berkenaan menyampaikan mesej kempen kesedaran secara santai berhubung bahaya insiden pelanggaran binatang liar.
Perhilitan melalui hantaran dalam akaun sosialnya memaklumkan bahawa, kes kemalangan tersebut mengakibatkan kemerosotan haiwan liar seperti tapir Malaya dan beruang matahari.
Justeru, bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang, agensi itu bertindak memasang hampir 300 papan tanda amaran awal memaparkan kawasan sering ada lintasan hidupan liar.
Inisiatif khas tersebut didirikan di 170 lokasi panas yang sudah dikenal pasti di Semenanjung Malaysia sebagai peringatan kepada pemandu agar memperlahankan kenderaan mereka. – K! ONLINE