fbpx

Lebih 300 ahli Bersatu Bahagian Tanjung Piai keluar parti, sertai Warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian dari bekas ahli Bersatu Bahagian Tanjung Piai memberi sokongan dan menyertai parti Warisan pada sidang akhbar di Pekan Nanas, Pontian malam semalam. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

PONTIAN – Sementara semua pihak sedang menantikan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima satu lagi perkhabaran negatif.

Lima cawangan Bersatu daripada Bersatu Bahagian Tanjung Piai terbubar apabila ketua cawangan beserta seramai lebih 300 ahlinya bertindak keluar parti serta merta, malam semalam.

Bekas Setiausaha Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Hishamuddin Busri berkata, tindakan keluar parti beramai-ramai itu dibuat kerana merasakan Bersatu sudah kehilangan hala tuju.

Menurut beliau, pihaknya juga merasakan parti berkenaan sudah tidak mempunyai masa hadapan dalam kancah politik tanah air.

“Kami tidak mahu memburuk-burukkan parti yang pernah kami dokong, tetapi hala tuju parti sudah tidak selari dengan matlamat dan perjuangan kami yang mahukan terbaik buat masyarakat.

“Surat keluar parti secara rasmi akan diserahkan dalam waktu terdekat kepada kepimpinan Bersatu di peringkat bahagian,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Pekan Nanas, malam semalam.

Dalam sidang akhbar itu, seramai lebih 300 ahli daripada lima cawangan termasuk ketua mereka mengumumkan keluar Bersatu serta merta.

Cawangan berkenaan adalah Pekan Nanas Timur, Pekan Nanas Selatan, Ladang Sos Malaya, Melayu Raya dan Lubuk Sawah.

Tambah Hishamuddin yang juga merupakan Ketua Bersatu Cawangan Pekan Nanas Timur sebelum ini, mereka juga sudah membuat keputusan untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI