LIVERPOOL – Frank Lampard bermula langkah kanan sebagai pengurus baharu Everton selepas membantu pasukan itu membelasah Brentford 4-1 pada pusingan keempat Piala FA di Goodison Park awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Everton yang turun sebagai tuan rumah menjaringkan gol menerusi Yerry Mina, Richarlison, Mason Holgate dan Andros Townsend, manakala gol Brentford dijaringkan Ivan Toney.
Lampard tidak dapat membendung kegembiraannya apabila menganggap aksi pertamanya bersama Everton itu tidak boleh dilupakan sepanjang kariernya kerana mereka menampilkan corak permainan sempurna.
“Satu hari yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila kerana ia terlalu istimewa. Maafkan saya kerana terlalu beremosi, namun kemenangan ini sangat bermakna untuk pasukan.
“Suasana di Goodison Park sangat berbeza dengan tempat lain dan saya dapat merasakannya. Semua pemain turut merasai sokongan tersebut dan mereka berjaya menampilkan aksi terbaik,” katanya.
Bekas pengurus Chelsea itu juga turut menggesa barisan pemainnya agar terus fokus bagi memastikan mereka kekal dengan aksi seperti itu dalam usaha menyelamatkan The Toffees dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya sangat bangga dengan permainan yang ditunjukkan oleh semua pemain dan ia menyebabkan saya teruja. Saya mahu lebih tenang selepas ini dan bekerja keras untuk perlawanan akan datang,” ujar Lampard. – AGENSI