RABAT, Maghribi – Tanggal 6 Februari menjadi tarikh seluruh dunia bersedih apabila mayat kanak-kanak yang terjatuh ke dalam perigi di Ighran, utara Maghribi diusung keluar dari lokasi kejadian.
Usaha menyelamatkan Rayan Oram,5, selama lima hari berakhir dengan tragedi meskipun ibu bapa malah seluruh dunia mengharapkan keajaiban berlaku agar anak kecil itu berjaya diselamatkan.
Pasukan penyelamat berjaya menarik Rayan keluar kira-kira 9.30 malam (waktu tempatan) kelmarin namun dia tidak terus dikejarkan ke helikopter untuk ke hospital dan hanya dimasukkan ke dalam ambulans.
Suasana ceria selepas kejayaan menemui Rayan bertukar hening apabila tiada kenyataan daripada pasukan perubatan tentang keadaan kanak-kanak itu.
Menurut laporan media tempatan, Rayan sudah pun meninggal dunia sebelum pasukan penyelamat berjaya menariknya keluar.
Raja Maghribi, Raja Mohamed VI dilaporkan mengikuti rapat perkembangan usaha menyelamatkan Rayan sejak berita itu menjadi tumpuan media dunia pada Selasa lepas.
Berita kematian kanak-kanak itu juga kali pertama dikeluarkan oleh istana Maghribi, kira-kira setengah jam selepas Allahyarham berjaya ditemui dalam perigi sedalam 32 meter itu.
“Raja Mohamed VI berkenan menghubungi ibu bapa Rayan iaitu Khaled Oram and Wassima Khersheesh selepas kematian anak mereka disahkan oleh pasukan perubatan.
“Baginda menyampaikan salam takziah buat mereka berdua atas kemalangan yang meragut nyawa anak kecil itu,” demikian kenyataan dari istana.
Responden AFP melaporkan, Khaled dan Wassima berjalan berpautan bahu menuju ke ambulans saat sekujur tubuh anak mereka yang kaku ditarik keluar.
“Raut wajah sugul pasangan ini menggambarkan hati yang berkecai selepas hanya mayat anak kesayangan mereka yang berjaya ditemui.
“Tiada kata-kata keluar dari mulut mereka selain air mata mengalir daripada wajah si ibu,” kata wakil media yang berkampung di lokasi kejadian selama lima hari.
Kisah Rayan meruntun hati penduduk dunia yang rata-rata berkongsi kesedihan atas pemergiannya yang digelar anak syurga.
“Saya sangat berharap bahawa ada sedikit keajaiban berlaku dan Rayan selamat kembali ke pangkuan keluarganya namun pengakhirannya sangat tragis,” tulis novelis Maghribi, Laila Lalami di Twitter.
“Ini satu tragedi. Kalaulah kasih sayang dan doa daripada seluruh dunia cukup untuk menyelamatkanmu, Rayan pasti sudah diselamatkan. Semoga anda berbahagia di syurga,” tulis seorang pengguna media sosial dari Malaysia.
Allahyarham Rayan terjatuh ke dalam perigi milik bapanya pada Selasa lalu ketika bermain-main di kawasan rumahnya.
Usaha menyelamat berdepan kesukaran kerana perigi itu terlalu sempit untuk dimasuki individu dewasa dan pasukan penyelamat terpaksa menggali terowong dari bawah untuk menyelamatkannya. – AFP