fbpx

Hati-hati pilih ubat jerawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kulit muka jadi merah, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada matahari.

Itu kesan utama akibat pengambilan ubat jerawat yang mengandungi bahan tretinoin tanpa pengawasan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Mendedahkan perkara itu, Pusat Racun Negara menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, pihaknya mendapati ada pengeluar kosmetik yang mencampurkan tretinoin dalam produk jerawat mereka.

Menurutnya, bagi menghasilkan produk yang berkesan, ada segelintir pengeluar produk yang tidak bertanggungjawab telah mencampurkan bahan terlarang serta berbahaya tanpa mengira kesan jangka panjang kepada pengguna.

“Salah satu bahan terlarang yang sering dicampur ke dalam produk untuk mengatasi masalah jerawat adalah tretinoin.

“Tretinoin sebenarnya adalah satu bahan yang berasal daripada vitamin A yang dipanggil retin-A.

“Retin-A, adalah bahan paling berkesan yang digunakan dalam merawat jerawat dan penuaan kulit malah, turut digunakan untuk merawat psoriasis dan beberapa jenis kanser,” katanya.

Katanya, tretinoin adalah racun berjadual yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan perlu berdaftar dengan PBKD serta hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan sahaja.

Jelas Pusat Racun Negara lagi, pengeluar produk kosmetik tidak boleh sewenang-wenangnya mencampurkan tritenoin dalam produk kosmetik mereka.

Katanya, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik yang mengandungi tretinoin adalah menyalahi Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Jika didapati bersalah, boleh dihukum denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI