PETALING JAYA – Berang dituduh tukar agama kerana berkahwin dengan lelaki Sweden, pelakon Sharifah Sakinah memuat naik kad perakuan agama Islam suaminya di Instagramnya malam tadi.
Dalam kad perakuan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor itu, suaminya yang bernama Carl Michael Hansen memilih Mikael Hansen sebagai nama Islamnya.
Sementara itu, Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 33, menjelaskan, dia tidak mendedahkan perkara perihal pertukaran agama suaminya kepada umum sebelum ini kerana tidak mahu menyulitkan keadaan dengan keluarga mentuanya.
“Terima kasihlah sebab mengharu-birukan lagi keadaan, kalau dah cakap sudahlah, maksudnya sudahlah, tak payah nak buruk sangka habis semua nak kena tunjuk bukti. Tak tunjuk sebab nak jaga hati keluarga belah sana.
“Kami tidak post bukti sebab tak nak mengharu-birukan keluarga mentua ya. Cuba anak awak tiba-tiba kena bertukar ke agama Hindu mak awak melenting tak?
“Nak sangat bukti swipelah. Terima kasihlah sebab mengharu-birukan keadaan. Kalau dah cakap, sudahlah tidak perlu buruk sangka.
“Habis semua perlu tunjuk bukti. Tak tunjuk hendak menjaga hati keluarga sana,” tulisnya panjang lebar dalam ruangan kapsyen.
Menerusi hantaran berkenaan Sakinah tampil menunjukkan bukti kad perakuan memeluk agama Islam milik suaminya yang tertera menunjukkan suaminya kini sudah memeluk agama Islam, sekali gus menangkis dakwaan telah bertukar agama seperti tuduhan netizen.
Tulis pengguna Instagram berkenaan: “Tahniah Kinah masuk Kristian”.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut bersetuju dengan apa yang yang diperkatakan pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu.
“Dia ada sebab tersendiri kenapa terpaksa sorokkan perkara tersebut. Apa yang penting dia dah selamat bernikah dan tidak bersekedudukan.
“Inilah mentaliti rakyat Malaysia. Banyak betul yang kepoh dan nak jadi hakim. Tak tanya terus buat kesimpulan dan jatuhkan hukuman,” tulis netizen.
Meskipun ramai yang bersetuju dan menyokong adik kepada penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah itu, namun tak kurang juga yang tetap mahu menang dengan pendirian masing-masing.
“Mana tidaknya kena fitnah bila tengok dengan mata kasar ‘life’ (kehidupan) sebagai Muslim tu tak ada,” tulis pengikut.
Terdahulu pada Jumaat, Sakinah akhirnya menamatkan spekulasi mengenai hubungannya dengan lelaki Sweden, Michael Hansen apabila membuat pengakuan mereka sudah sah menjadi suami isteri.
Bagaimanapun, Sakinah, 33, tidak mendedahkan tarikh pernikahan sebaliknya menyatakan terpaksa merahsiakan perkara tersebut disebabkan beberapa isu.
Sebelum ini, dia pernah memaklumkan perancangan untuk melangsungkan pernikahan dengan jurulatih kecergasan berusia 42 tahun itu pada 28 Mei tahun lalu kerana kedua-duanya berkongsi tarikh lahir yang sama.
Untuk rekod, Sakinah pernah berkahwin dengan juruterbang, Aliff Adha pada 2015 namun hubungan mereka terlerai selepas disahkan bercerai lima tahun selepas itu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Anais Adha yang kini berusia lima tahun. – K! ONLINE