fbpx

48 saman dikeluarkan di Jalan New Zealand Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 48 saman telah dikeluarkan oleh pihak polis di laluan Jalan Temiang-Pantai di sini.

SEREMBAN – Sebanyak 48 saman telah dikeluarkan oleh pihak polis di laluan Jalan Temiang-Pantai di sini yang menjadi tarikan pengunjung untuk bergambar kerana keindahan pemandangan seakan ‘New Zealand’ di Malaysia.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, daripada saman yang dikeluarkan kesalahan tertinggi direkodkan adalah meletakkan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan untuk tujuan bergambar dan berkumpul.

“Hendak ambil gambar tidak jadi masalah tetapi jangan sampai meletak kenderaan di bahu jalan dan lorong kecemasan sehingga mengganggu kelancaran trafik dan mengundang risiko tinggi berlakunya kemalangan.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada kes kemalangan direkodkan berlaku di kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Mohamad, pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan bersama agensi lain akan meneruskan pemantuan dan advokasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna lalu lintas.

“Itu sebenarnya jalan Persekutuan bukannya lebuh raya, mungkin disebabkan pemandangan di sepanjang laluan itu menarik menyebabkan ramai yang berhenti untuk mengambil gambar.

“Ia tidak jadi masalah asalkan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan selain tidak mengganggu lalu lintas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, aktiviti berbasikal dan jogging dibenarkan di laluan berkenaan selagi tidak mengganggu keselamatan lalu lintas serta tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

“Justeru kita menasihati pengguna jalan raya tidak kira di negeri ini mahupun luar negeri yang melalui kawasan itu supaya mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial, sekumpulan individu daripada sebuah kelab kereta meletakkan kenderaan di lorong kecemasan kedua-dua arah di Jalan Temiang-Pantai untuk bergambar di jalan raya berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI