GEORGE TOWN – Seramai 40,000 daripada 160,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah didaftarkan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, sebagai permulaan, seramai 10 kanak-kanak menerima vaksin hari ini.
“Setakat ini sebanyak 40,000 kanak-kanak telah didaftarkan untuk menerima vaksin Covid-19.
“Vaksin Covid-19 ini adalah salah satu ikhtiar terbaik untuk menjaga kanak-kanak dan ia telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) juga didapati telah berkurangan selepas program vaksinasi dijalankan.
“Setakat ini hanya tiga pesakit Covid-19 dirawat di ICU dan kes-kes kematian serta pesakit tahap empat dan lima melibatkan mereka yang tidak mendapatkan vaksin.
“Selain itu, pesakit-pesakit tahap satu dan dua juga sekitar adalah 99 peratus pada ketika ini,” katanya. – K! ONLINE