GEORGE TOWN – Program vaksinasi melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi akan bermula esok di Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, proses vaksinasi itu akan dilaksanakan di dua pusat pemberian vaksin iaitu di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya.
Menurut Norlela, populasi kanak-kanak dalam kalangan usia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang adalah kira-kira 160,000 orang.
“Bagi kanak-kanak yang tiada penyakit, mereka akan disuntik sama ada di Klinik Kesihatan atau di sekolah. Namun buat permulaan, hanya kanak-kanak yang mempunyai komorbid akan disuntik vaksin dahulu,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, dua lagi kluster pendidikan dilaporkan di negeri ini sehingga semalam yang menjadikan 12 kluster membabitkan institusi pendidikan ketika ini. – K! ONLINE