MELAKA – Suasana di kampung Bukit Piatu di sini bertukar kecoh selepas seekor ular sawa batik seberat 150 kilogram ditemui melingkar di dalam kawasan belukar, pagi tadi.
Haiwan berbisa itu ditemui salah seorang penduduk, Ramli Ab. Wahab, 42, kira-kira pukul 10.45 pagi ketika membersihkan kawasan tersebut menggunakan jentera jengkaut.
Katanya, penemuan itu sekali gus menjawab tanda tanya penduduk kampung mengenai ternakan ayam dan itik yang dikesan hilang sejak bulan lalu.
“Saya memang mengambil upah membersihkan kawasan belukar dan ketika membuat kerja-kerja pembersihan pagi tadi saya terkejut apabila ternampak seekor ular sawa yang sangat besar.
“Penduduk kampung ada juga mengadu ternakan hilang sejak bulan lalu, mungkin ular inilah yang telah makan ayam dan itik mereka,” katanya ketika ditemui di Bukit Piatu di sini, hari ini.
Tambahnya, sepanjang bekerja sebagai operator jengkaut, itu adalah pengalaman pertamanya menemui ular seberat 150 kilogram.
“Selain ular itu, terdapat seekor lagi ular lain yang saiznya lebih kecil menyelinap masuk ke dalam belukar,” katanya.-K! ONLINE