SHAH ALAM – Seorang tukang cuci warga Indonesia kerugian lebih RM10,000 apabila mendakwa ‘dipukau’ tiga individu termasuk wanita di sekitar Seksyen 17 di sini, baru-baru ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, Rabu lalu mengakibatkan wanita berusia 43 tahun itu kehilangan beberapa barang kemas dan telefon bimbit yang dilarikan suspek.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Syanti berkata, kejadian berlaku ketika berjalan bersendirian untuk membeli kelapa di sebuah kedai berdekatan kawasan rumahnya.
Katanya, tiba-tiba saya didatangi seorang wanita yang menepuk bahu kiri dan memberitahu mahu meminjam telefon bimbit untuk menghubungi seseorang.
“Tanpa disedari saya kemudian mengikuti dia bersama dua lelaki lain menaiki sebuah kereta Proton Saga Aeroback menuju ke Sungai Rasah.
“Tiga individu berkenaan meminta supaya menyerahkan semua barang kemas termasuk dua cincin, gelang, rantai leher dan telefon bimbit sebelum saya ditinggalkan di hadapan sebuah kedai di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Sejurus itu, ibu beranak satu itu, menyedari dirinya dipukau dan memaklumkan kejadian itu kali pertama menimpanya sepanjang menetap di negara ini secara sah sejak 25 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya. -K!ONLINE