LIMA, Peru – Lima pelancong dan dua kru terbunuh apabila pesawat mereka terhempas semasa penerbangan untuk melihat garisan Nazca yang popular di Peru kelmarin, kata kementerian pengangkutan.
Pesawat enjin tunggal Cessna 207 milik syarikat pelancongan Aerosantos itu terhempas sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang kecil Maria Reiche di Nazca sekitar tengah hari (waktu tempatan), katanya dalam satu kenyataan.
Tiada seorang pun daripada tujuh penumpang dan kru yang terselamat dalam nahas itu. Pelancong tersebut terdiri daripada dua warga Chile dan tiga rakyat Belanda, kata pejabat pertahanan awam di Nazca.
Berpuluh-puluh pesawat beroperasi dari lapangan terbang Maria Reiche dengan menerbangkan pelancong terutamanya warga asing untuk melihat garisan Nazca yang merupakan tapak Warisan Dunia UNESCO.
Garisan itu merupakan antara tarikan pelancongan utama di Peru. Garisan itu terukir di atas padang pasir padang pasir, kira-kira 350 kilometer ke selatan Lima antara 500 tahun sebelum masihi hingga tahun 500, demikian menurut UNESCO.
Lukisan itu menggambarkan haiwan, tumbuhan, makhluk khayalan dan geometri sepanjang beberapa kilometer.
Garisan itu dipercayai mempunyai fungsi astronomi, ritual atau berfungsi sebagai kalendar.
Pesawat malang itu meletup apabila terhempas dan dan terbakar, menyebabkan mayat mangsa hangus serta tidak dapat dikenali.
Kementerian pengangkutan berkata, punca nahas akan disiasat.
Pada Oktober 2010, empat pelancong Britain dan dua anak kapal Peru terbunuh apabila pesawat AirNasca terhempas di lokasi tersebut. – AFP