PETALING JAYA – Seorang wanita warga emas dikenali Tok Umi didakwa sanggup berjalan jauh semata-mata untuk mendapatkan wang dengan mencari kotak dan barangan buangan tular di media sosial hari ini.
Tok Umi juga dikatakan menolak satu troli bersama anaknya berusia lingkungan belasan tahun ke merata kawasan sekitar Kuala Lumpur hanya untuk mendapatkan barangan buangan yang boleh dijual.
Menerusi satu klip video di laman Facebook InfoRoadblock, seorang lelaki berjaya merakam keadaan Tok Umi yang sedang menolak troli bersama anaknya di sekitar Jalan Semarak.
Menurut status di laman tersebut, makcik yang dikenali sebagai Tok Umi itu berjalan kaki jauh untuk mencari kotak dan kertas di sekitar Jalan Semarak.
“Sayu tengok, jika ada yang terserempak dengan makcik ini mungkin boleh hulurkan sedikit bantuan. Menurut info Tok Umi tinggal di Blok G flat PPR Sungai Bonus Air Panas Setapak, nombor telefon Tok Umi 010-2266391,” tulis status tersebut.
Rata-rata orang ramai yang mengenali Tok Umi turut mengesahkan keadaan tersebut dan menyatakan sememangnya Tok Umi seorang wanita yang rajin bekerja demi keluarganya.
“Saya tidak tahu banyak tapi tahu keadaan Tok Umi ini, dia memang susah dan seorang yang rajin bekerja. Kalau siapa yang nak membantu bolehlah ‘contact’ nombor dia sendiri,” jelas Mat Luqi.
“Memang selalu nampak dia jalan dengan troli, kalau hujan lebat dia akan berhenti sekejap di bawah jambatan.
“Kadang banyak barang dia bawa dalam troli tu, ada seorang anak lelaki yang selalu membantu dia. Semoga Allah memudahkan dan menyenangkan Tok Umi selepas ini,” jelas Issey Paradok. – K! ONLINE