fbpx

Sertai Big Stage, Lia Aziz mahu bukti kemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIA AZIZ

PENYANYI Lia Aziz diibaratkan pucuk muda yang masih hijau dalam industri seni tanah air.

Terkenal dengan lagu berjudul Kucu Kuca, Lia atau nama lengkapnya Noralia Farzana Abd. Aziz bertuah kerana lagu dendangannya mendapat tempat di hati peminat sekali gus menjadi karya popular tahun lalu.

Peluang menyertai program nyanyian Big Stage membuka ruang untuk penyanyi cantik itu memperkenalkan namanya dalam industri muzik tempatan.

Bagaimanapun, Lia mengakui terdapat cakap-cakap tidak enak yang mempersoalkan penglibatannya dalam program tersebut.

Ada yang tidak yakin dengan kemampuannya menyanyi.

“Ada juga kritikan yang mempersoalkan penglibatan saya. Malah ada juga yang terkejut.

“Orang mungkin mengenali saya menerusi lagu bergenre pop, jadi mereka ingat nyanyian saya setakat itu sahaja,” katanya.

Ujar penyanyi berusia 19 tahun itu lagi, ramai juga tidak tahu bahawa dia kini menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang vokal klasik. Dia sendiri tidak terlalu berkongsi tentang hal tersebut.

SEDAR dirinya masih hijau dalam lapangan seni suara tempatan, peluang menyertai Big Stage mahu digunakan sebaik mungkin oleh Lia untuk membawa namanya ke depan.

“Apabila berpeluang menyertai Big Stage, di situlah saya mahu pamerkan bakat nyanyian. Saya ingin buktikan bahawa saya mampu menyanyikan lagu dengan genre berlainan.

“Saya tahu ramai beranggapan bahawa saya tidak boleh menyanyi selain muzik berentak pop. Bukan niat untuk menunjuk, namun saya mahu sahut cabaran dan buktikan bahawa saya adalah seorang penyanyi,” jelasnya.

Ketika disoal tentang pencabar terdekat, Lia tidak mahu memetik hanya seorang pesaingnya. Hal ini kerana akuinya, dia melihat kesemua peserta yang bertanding kali ini hebat-hebat belaka.

“Kesemua 11 peserta adalah pencabar terdekat saya. Masing-masing punya kelebihan sendiri walaupun ada yang tak pernah bertanding dalam pertandingan besar seperti saya. Tapi ketika beraksi di atas pentas, masing-masing memiliki aura tersendiri,” katanya.

Walaupun mempunyai kelebihan apabila menuntut dalam jurusan vokal, Lia tidak menganggap ilmu yang dimilikinya sebagai ‘tiket’ untuk berasa sudah cukup bagus.

Sebagai manusia biasa, dia tidak boleh lari daripada membuat kesilapan semasa berada di atas pentas lebih-lebih lagi ketika berasa gementar.

LIA kini merupakan penuntut dalam jurusan vokal klasik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Tipu kalau tidak rasa bimbang lebih-lebih lagi ketika berasa gementar. Kadang-kadang disebabkan perasaan tersebut, segala ilmu yang dipelajari akan jadi berterabur.

“Walaupun belajar dalam jurusan muzik, saya juga tidak boleh lari daripada membuat kesilapan. Namun apa-apa pun saya akan buat yang terbaik,” janjinya.

Tidak meletakkan harapan setinggi gunung, Lia amat bersyukur jika dapat bertahan sehingga ke peringkat akhir sekali gus membuktikan dirinya layak berdiri di situ.

“Saya juga berharap agar peminat di luar sana menyokong perjalanan seni saya. Selepas menyertai Big Stage, harap orang ramai akan mengenali Lia Aziz.

“Insya-Allah, jika tidak menang sekali pun, saya berasa sangat gembira atas peluang yang diberikan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI