MADRID – Sepanyol akan menamatkan pemakaian pelitup muka di luar rumah pada minggu hadapan sekali gus membatalkan peraturan yang dilaksanakan pada hujung Disember 2021 akibat penularan varian Covid-19 Omicron, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Sepanyol, Carolina Darias.
Selepas mengesahkan tahap jangkitan di Sepanyol sudah melepasi kemuncaknya, Kabinet akan menamatkan mandat tersebut Selasa depan, manakala kerajaan menjangkakan perubahan itu akan berkuatkuasa mulai 10 Februari ini, jelas Darias kepada stesen radio tempatan, Cadena SER kelmarin.
Bagaimanapun, pelitup muka masih perlu dipakai di tempat awam tertutup termasuk semasa berada di dalam pengangkutan awam dan di luar rumah apabila penjarakan sosial 1.5 meter tidak dapat dikekalkan.
Mandat pelitup muka di luar rumah telah dilaksanakan pada 22 Disember tahun lalu ketika orang ramai bersiap sedia untuk berkumpul bersama keluarga menjelang pada Hari Krismas.
Keputusan itu dikritik oleh beberapa pakar sebagai langkah kosmetik dan tidak berkesan dalam menghentikan penularan varian Omicron.
Data rasmi kementerian kesihatan menunjukkan penyebaran virus itu semakin pantas pada November 2021 dan memuncak pada 21 Januari lalu dengan 3,418 jangkitan baharu bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan dalam tempoh dua minggu.
Penurunan kes dicatatkan sejak itu dengan angka jangkitan dalam tempoh 14 hari semakin mencatatkan penurunan kepada purata 1,000 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada Khamis lalu kepada 2,420 kes.
Pihak berkuasa menyifatkan kadar kemasukan ke hospital yang rendah akibat Covid-19 adalah dibantu oleh kadar vaksinasi yang tinggi di Sepanyol. Setakat kelmarin sejumlah 81 peratus daripada 47 juta penduduk negara itu telah divaksin. – Agensi