SHAH ALAM – Seorang pelanggan dikesan bukan hanya mencuri beg tangan pemilik sebuah restoran tomyam di Seksyen 17 di sini, malah dipercayai sempat membelanjakan wang mangsa sebelum dicekup polis, semalam.
Lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun itu dikatakan menggunakan sebahagian daripada wang berjumlah RM15,000 yang dicurinya pada pukul 11.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima maklumat mengenai kes kecurian beg tangan di restoran tersebut.
Katanya, siasatan mendapati suspek yang juga buruh binaan dikenal pasti sering kali datang ke premis itu sebagai pelanggan.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sekitar lokasi kejadian kira-kira pukul 4 petang hari sama. Permohonan reman akan dibuat terhadap lelaki itu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Baharudin, siasatan awal mendapati suspek dipercayai sempat membelanjakan sejumlah wang yang berada dalam beg tangan mangsa.
“Mangsa menganggarkan kesemua wang itu adalah RM15,000 dan tidak mengetahui jumlah sebenar. Sewaktu tangkapan, wang yang ditemui semula sebanyak RM9,500 dan suspek mengaku sempat berbelanja,” ujarnya.-K!ONLINE