JOHOR BAHRU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menafikan surat yang tular di media sosial kerusi yang akan ditandingi MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Menurut Ka Siong, surat yang menggunakan kepala Surat (letterhead) MCA dan namanya berniat jahat untuk mencetuskan pergolakan dalam Barisan Nasional (BN).
Katanya, tidak timbul isu perebutan kerusi membabitkan parti komponen BN itu yang bertegas untuk bertanding di kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Tular mengenai surat palsu ini yang menggunakan letterhead (kepala surat) MCA dan nama saya. Kepada mereka yang berniat jahat melakukan fitnah ini untuk memecah-belahkan Barisan Nasional, hentikanlah.
“Kami dalam Barisan Nasional sentiasa bermusyawarah dan segala keputusan dicapai secara konsensus parti-parti komponen,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Menurut surat yang tular itu, menyatakan MCA akan meletakkan calon di semua kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang pernah ditandingi MCA pada PRU-14 yang lalu.
Kandungan surat palsu itu turut memaklumkan MCA akan bertanding di 17 daripada 56 kerusi DUN yang akan ditandingi MCA pada PRN kali ini.
Dalam surat palsu itu lagi, turut menamakan kesemua 17 kerusi DUN yang akan ditandingi antaranya Tangkak, Paloh, Senai, Yong Peng, Johor Jaya, Pulai Sebatang, Mengkibol dan Perling.-K! ONLINE