KLUANG – Tindakan pentingkan diri sendiri seorang pemandu Perodua Axia yang memandu secara melawan arus di Jalan Lingkaran Tengah, Taman Tasek Indah, di sini mendapat kecaman selepas videonya tular di media sosial sejak semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, siasatan awal mendapati lelaki itu tersalah jalan hingga bertindak demikian.
“Semalam lebih kurang 5.50 petang, Pasukan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPT) Kluang telah berjaya mengesan dan menahan lelaki warganegara Malaysia berusia 30an.
“Tiada unsur mabuk manakala hasil ujian saringan air kencing suspek negatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (l) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE