PETALING JAYA – Setiap pasangan pengantin baharu pastinya mengimpikan suasana majlis perkahwinan yang meriah dan mengikut cita rasa pilihan agar dapat dijadikan kenangan manis dalam kehidupan.
Namun, pemilihan tema antara perkara penting dalam sesebuah majlis, sehingga ada yang menetapkan syarat warna pakaian kepada tetamu jemputan.
Seperti perkongsian video seorang jurugambar @fitrinruslee di laman TikTok miliknya, memaparkan perjalanan acara sebuah majlis kenduri kahwin yang memilih tema serba putih.
Lebih menarik, tema tersebut bukan sahaja dilihat pada busana pengantin, malah pakaian keluarga serta tetamu jemputan turut mematuhi konsep majlis agar memberi seri sepanjang majlis berlangsung.
Rakaman berdurasi 38 saat ini berjaya mencuri tumpuan orang ramai dan rata-rata memuji kepatuhan para tetamu yang sanggup hadir serta mengenakan pakaian mengikut tema.
“Wah, baguslah semua tetamu yang hadir, ikut tema pihak kenduri, bukan senang nak bagi seragam semua, dari hujung ke hujung nampak putih,” kata @Audrey Lia Noor.
Selain itu, ada juga pengguna yang menyamakan situasi kenduri tersebut seperti perkampungan orang bunian.
“Nasib kenduri di rumah taman, kalau di kampung, pasti ramai orang undur balik, risau termasuk alam bunia pulak,” ujar @Bulattt.
“Sejuk mata memandang, macam di perkampungan bunian,” kata Shaqira Rahmad.-K! ONLINE