PETALING JAYA – Penubuhan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) akan mewujudkan ekosistem lebih bersepadu berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, GITC selari dengan agenda dan aspirasi kementerian untuk membangunkan modal insan luar bandar yang berkualiti, berkemahiran dan memenuhi keperluan masa hadapan.
“KPLB menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri, pelaksanaan Hub Kolaborasi TVET serta cadangan penarafan tunggal Program TVET.
“Penubuhan GITC yang diterajui oleh pihak industri membolehkannya dan kerajaan mengalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan yang berkualiti,” katanya melaluis satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, menerusi Hub Kolaborasi TVET terdapat tiga institusi pendidikan TVET KPLB di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) terdiri daripada Kluster Integrasi Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MIAT, Kluster Automasi dan Robotik Industri, UniKL MFI dan Pusat Rel Asia UniKL yang diiktiraf sebagai antara hab fasa pertama Pusat Kecemerlangan Industri di Wilayah Tengah.
Mahdzir berkata, UniKL bersedia memainkan peranan yang dimandatkan dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, Kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET.
Untuk rekod, beliau juga berkata, KPLB mempunyai 279 institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri.
“Antara jalinan kolaborasi TVET KPLB dengan pihak industri termasuklah kolaborasi strategik dengan pelbagai sektor perindustrian melalui pemeteraian sejumlah 227 Memorandum Persefahaman (MoU) berstatus aktif.
“Kolaborasi merangkumi pembekalan teknologi terkini, kepakaran dan latihan secara profesional, pembangunan program, tenaga pengajar dan pelatih, pemindahan teknologi dan pengetahuan, peningkatan kemahiran dan latihan semula (upskilling dan reskilling),” jelasnya.
Mahdzir berkata, kolaborasi itu bagi memastikan semua pelatih TVET KPLB dilengkapi kemahiran kebolehpasaran yang tinggi mengikut keperluan industri dengan kadar upah yang tinggi.
Katanya lagi, inisiatif yang dirancang ini mampu memperkemas dan memperkukuhkan lagi ekosistem TVET secara keseluruhannya dengan penggembelengan bersepadu semua pihak yang berkepentingan dalam usaha memartabatkan TVET sebagai pilihan pertama kerjaya.-K! ONLINE