JOHOR BAHRU – Peningkatan kes positif Covid-19 yang direkodkan pada ketika ini dilihat tidak menjadi penghalang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diteruskan.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya lebih yakin dengan pemberian vaksin Covid-19 termasuk suntikan penggalak yang telah diberikan sebagai pelindung daripada jangkitan.
Tambahnya, keadaan kini adalah lebih baik berbanding ketika mengadakan PRN di Melaka dan juga di Sarawak.
“Pihak berkuasa dalam mengendalikan SOP ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah tentunya akan melindungi pengundi daripada terjejas dengan jangkitan.
“Saya yakin persiapan SPR terhadap kaedah dan cara di tempat mengundi itu akan bertepatan dengan unsur-unsur memberi perlindungan di sampling boleh keluar mengundi,” katanya kepada pemberita selepas program perjumpaan ketua Penerangan UMNO dengan Media Johor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adham yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau maklum bahawa kes Covid-19 di negeri ini adalah kesan daripada terdedah dengan varian baharu, Omicron.
“Oleh itu, kita perlu meminta kerajaan supaya segera mengambil tindakan bagi melandaikan keluk dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negeri ini.
“Ini adalah antara langkah yang perlu diambil selain pemberian dos penggalak dan vaksin kepada kanak-kanak, itu lebih penting,” ujarnya.-K! ONLINE