NEW DELHI – Sebuah perkampungan di Goa, India, yang telah tenggelam akibat pembinaan empangan pada lewat 1970-an, timbul di permukaan sekali dalam setahun, iaitu sebelum bermulanya musim monsun, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Kampung bernama Curdi itu suatu ketika dahulu menempatkan kira-kira 600 buah keluarga di daerah Selatan Goa itu.
Ia terletak antara Ghats Barat dengan sungai Salaulim yang mengalir melaluinya.
Perkampungan tersebut bagaimanapun tenggelam ke dasar sungai disebabkan pembinaan empangan.
Ia sekali gus memaksa penduduk dari 17 kampung lain turut dipindahkan bagi memberi laluan kepada kawasan tadahan empangan Salaulim yang dibina pada lewat 1970-an.
Ekoran itu, kampung Curdi kini tenggelam selama 11 bulan di dasar air empangan tersebut dalam masa setahun. Ia kebiasaannya timbul di permukaan ketika paras air menurun sebelum musim monsun melanda Goa pada awal bulan Jun setiap tahun.
Ketika fenomena itu berlaku, beberapa binaan asal kampung tersebut dapat dilihat semula seperti kuil, gua, tempat tinggal dan laluan penduduk meskipun telah tenggelam selama lebih 35 tahun.
Ia membuatkan sesiapa sahaja yang melawat kampung Curdi ketika separuh kedua bulan Mei dapat merasai pengalaman seolah-olah sedang berada pada masa lampau ketika kampung itu masih didiami penduduk. – AGENSI