KUALA SELANGOR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menggesa kerajaan negeri Selangor untuk melakukan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar bencana bah di negeri tersebut.
Ahli Parlimen Tanjung Karang itu hari ini berkata kajian tersebut perlu digerakkan kerana faktor banjir di setiap tempat berlainan dan kerajaan perlu mengambil pendekatan berbeza.
“Kita minta kerajaan negeri membuat kajian terperinci punca banjir sama ada disebabkan sungai, longkang tersumbat atau pembangunan.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lihat semula perancangan pembangunan bersesuaian, jika perancangan tidak sempurna hal ini akan menyusahkan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Sentuhan Kasih Prihatin dan DXN di Kampung Bestari Jaya di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd. Daud Bakar.
Sementara itu, Noh turut mengulas kegiatan perlombongan yang semakin berleluasa di kawasan terbabit.
“Saya dimaklumkan secara tidak rasmi disebabkan aktiviti sedut pasir, lombong menjadi semakin dalam dan air melimpah apabila hujan berlaku.
“Pihak yang meluluskan projek perlombongan jangan hanya fikir keuntungan semata-mata kerana rakyat turut menjadi mangsa,” tegasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, seramai 500 mangsa banjir di Kampung Bestari Jaya menerima bantuan dalam bentuk periuk nasi, dapur gas dan beg makanan asas.
Selain itu, wang sebanyak RM2,500 bakal diagihkan bagi setiap individu dan dua buah rumah baharu buat penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana banjir Disember lalu. – K! ONLINE