fbpx

Isu pakaian seksi, Ayu Damit akur teguran netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYU DAMIT Foto: HARYATI KARIM

PETALING JAYA – Penyanyi Ayu Damit bersikap terbuka menerima teguran netizen selepas videonya memakai seluar ketat ketika mengadakan persembahan untuk pelancaran sebuah produk telah viral baru-baru ini.

Menurut Ayu atau nama sebenarnya, Norayu Damit, 33, teguran seumpama itu sangat positif untuknya untuk memperbaiki diri.

“Bagi saya biasalah kita sebagai manusia ada melakukan kesilapan dan teguran seperti itu bagus untuk saya memperbaiki diri.

“Sejujurnya, saya tidak ada masalah apabila orang kata pakaian saya terlalu ketat dan mengecam saya kerana perkara tersebut. Sebagai penyanyi kecaman, kritikan dan teguran adalah lumrah yang harus diterima,” ujar Ayu.

Menyentuh tentang pakaiannya yang dikatakan agak seksi dan tidak selari dengan imejnya sebagai wanita berhijab dalam acara berkenaan, jelas Ayu pakaian tersebut memang disediakan khas untuknya oleh pereka fesyen.

Malah, fesyen yang dipilih itu turut mendapat kebenaran daripada suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin.

“Memang saya yang minta daripada pereka fesyen mahu baju sebegitu kerana mengikut tema majlis berkenaan. Jadi, tiada sebarang isu kerana suami yang menjaga pemakaian saya.

“Pada mata suami pakaian tersebut okey, tetapi pada orang lain mungkin ada salahnya. Tidak apa, saya ambil segala teguran tersebut secara positif dan sentiasa beringat serta memperbaiki kesilapan sama tidak berulang lagi,” kata Ayu.

Mengambil iktibar daripada isu baju ketat, Ayu yang ditemui pada majlis pelancaran Hari Usahawan Negara 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini mengenakan pakaian yang lebih sopan.

“Jadi, untuk acara ini saya memakai gaun kembang. Sopan dan tidak kelihatan seksi. Saya juga bebas bergerak ketika membuat persembahan,” tutur Ayu sambil ketawa.

Dalam pada itu, Ayu yang dikenali sebagai usahawan pertanian bersyukur dengan rezeki yang sentiasa ada buat keluarganya meskipun dalam keadaan ekonomi mencabar kerana pandemik Covid-19.

Ayu yang mengusahakan tanaman seperti cili, terung, kacang panjang dan timun merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan membina rumah inap desa (home stay) di atas tanah yang sama.

“Alhamdulillah, perniagaan berjalan seperti biasa, semuanya diuruskan oleh suami. Sekarang kami sudah mendapat hak sepenuhnya atas tanah yang diusahakan, jadi mengikut perancangan kami mahu membina homestay.

“Doakan perancangan dan impian saya mahu mengembangkan lagi perniagaan pada tahun ini berjaya,” tutur Ayu.

-Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI