NEW DELHI – India kelmarin mencipta sejarah dengan menjadi negara pertama di dunia yang memberikan vaksinasi jenis asid deoksiribonukleik (DNA) bagi melawan virus Covid-19, lapor laman berita Wion News.
Kerajaan negara itu telah meluluskan penggunaan kecemasan bagi vaksin DNA yang dinamakan ZyCoV-D, pada awal tahun ini.
Ia dibuat berdasarkan keputusan awal ujian klinikal fasa tiga yang menunjukkan bahawa vaksin tersebut adalah 66 peratus berkesan dalam mencegah kes-kes bergejala.
Vaksin DNA plasmid pertama di dunia itu dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Ahmedabad, Zydus Cadila dan dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Bioteknologi India.
Ia merupakan vaksin keluaran tempatan kedua yang menerima kelulusan untuk penggunaan kecemasan selepas Covaxin.
Pengawal Ubat-ubatan Utama negara itu telah memberikan kebenaran agar vaksin tersebut diedarkan kepada kanak-kanak berusia 12 ke 17 tahun.
Tidak seperti kebanyakan vaksin Covid-19 lain yang memerlukan dua atau satu dos suntikan, ZyCoV-D adalah vaksin tiga dos dengan selang masa pemberian selama 28 dan 56 hari dari hari pertama suntikan.
Dalam pada itu, menurut pegawai kementerian kesihatan India, lebih 93 peratus penduduk dewasa negara itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 setakat ini, dengan lebih 69.8 peratus mendapat vaksinasi lengkap.
“Hasil daripada solidariti negara dan komitmen Perdana Menteri, Narendra Modi ketika krisis Covid-19 ini, India bukan sekadar menghasilkan vaksin tempatan, bahkan berjaya memberikan suntikan vaksinasi kepada sebahagian besar populasi dalam masa yang singkat,” kata Menteri Kesihatan Kesatuan, Mansukh Mandaviya. – AGENSI