SELAMA – Seorang imam dikhuatiri sesat setelah keluar dari rumah di Felda Ijok dekat sini untuk pergi ke kebun kelapa sawit miliknya petang tadi.
Mangsa, Abdullah Ibrahim, 74, atau lebih dikenali penduduk sebagai Imam Dolah dipercayai keluar rumah menunggang motosikal jenis Modenas Kriss berwarna hitam.
Difahamkan Imam Dolah turut mempunyai masalah ingatan dan dikhuatiri telah tersesat di dalam kebunnya.
Ahli keluarga yang bimbangkan keadaan mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum gerakan mencari dilakukan.
Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memberitahu, pihaknya menerima panggilan bagi bantuan mencari pada pukul 7.35 malam.
Katanya, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selama telah dihantar ke lokasi bagi melakukan operasi mencari.
“Operasi pencarian telah dilakukan terlebih dahulu oleh pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.
“Pencarian dilakukan dalam jarak dua kilometer di sekitar kebun sejak petang namun gagal menemui sebarang petunjuk. Pencarian akan diteruskan pada malam ini,” ujar jurucakap itu. – K! ONLINE