KAHERAH — Anggota-anggota penyelamat kesuntukan masa malam tadi untuk membebaskan seorang kanak-kanak yang terperangkap di dalam perigi sedalam 30 meter selama empat hari di utara Maghribi.
Pasukan penyelamat berkata, mereka masih menaruh harapan tinggi untuk mengeluarkan mangsa hidup-hidup, namun tidak pasti keadaan terkini budak lelaki tersebut.
Anggota-anggota penyelamat bekerja siang malam untuk menggali terowong menuju kepada mangsa yang dikenali sebagai Rayan dan berkata, mereka kini hanya beberapa meter sahaja daripadanya.
Bagaimanapun, anggota-anggota penyelamat terbabit bekerja secara amat berhati-hati kerana bimbang sebuah terowong melintang yang digali untuk sampai kepada mangsa, berisiko runtuh pada bila-bila masa sahaja.
“Sukar untuk mengetahui status sebenarnya tetapi kami menaruh harapan yang amat, amat besar,” kata Abdulhadi Temrani yang merupakan salah seorang anggota penyelamat terbabit.
Pasukan penyelamat membekalkan oksigen pada setiap masa kepada Rayan yang berumur lima tahun itu.
Mereka juga memantau mangsa dengan menggunakan sebuah kamera yang diturunkan ke dalam perigi tersebut.
“Terdapat sebuah ambulans dan helikopter menanti untuk membantu pada waktu yang diperlukan,” kata Temrani.
Menurutnya, kamera itu menunjukkan mangsa berada dalam keadaan mengiring sekali gus sukar untuk menentukan keadaan sebenar dirinya. – Agensi