RASANYA ramai bercuti panjang awal Februari ini, bersempena Tahun Baharu Cina dan Hari Wilayah Persekutuan.
Boleh dilihat jalan raya di Kuala Lumpur agak lengang apabila ramai yang ambil peluang untuk balik kampung dan bercuti bersama keluarga.
Ingat tak, minggu lalu saya kongsi bersama anda peri pentingnya untuk mengetahui potensi perniagaan agar dapat membuat strategi dan tindakan yang lebih berkesan.
Bagi bangsa usahawan yang ada persediaan awal, mereka juga ‘beraya’ dengan kejayaan merekodkan prestasi luar biasa setelah menyediakan tawaran dan promosi tertentu sepanjang musim perayaan ini.
Contohnya, dua anak didik saya yang berkongsikan wins mereka apabila dalam tempoh tiga hari, seorang mencipta jualan terkumpul RM3 juta, manakala seorang lagi beroleh RM400,000.
Nasib atau dirancang
Adakah kejayaan mereka ini sebab nasib atau dirancang?
Umpama pepatah orang tua, ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.’
Kejayaan itu tidak datang begitu saja, tanpa usaha dan tindakan yang dilakukan usahawan berkenaan.
Sebelum ini, pastinya mereka telah pun buat persediaan dan perancangan untuk menarik minat pelanggan.
Jika tiada persediaan, boleh saya katakan mustahil untuk mereka mampu mencapai jualan sebegitu dalam masa singkat.
Siapa kata ramai orang sudah tidak berbelanja? Tak ada duit untuk membeli produk atau perkhidmatan anda?
Tidak, cuma ramai orang tak nampak bisnes anda. Orang berbelanja, cuma tak beli dengan kau!
Sebab itu, saya selalu tekankan kepada usahawan supaya bertindak pantas.
Fast action, fast results. Bila anda pantas bertindak, maka hasil diperolehi lebih cepat berbanding orang lain.
Usah bertangguh-tangguh lagi, Januari sudah pun berlalu dan kini sudah 6 Februari, apa tindakan anda?
Sudahkah refleksi balik apa dibuat dan capai tak sasaran anda?
Jika belum, ambil masa sebentar untuk lihat di mana jurang atau lompang yang perlu dibaiki.
Ruginya jika perniagaan anda masih berada pada tahap sama. Sedangkan banyak usahawan sudah agresif bertindak hingga nampak hasilnya.
Sekarang waktu terbaik untuk tingkatkan perniagaan meskipun ketika dalam ketidaktentuan pada 2022 ini.
Yakinlah, setiap masalah sebenarnya ada peluangnya. Bisnes lahir pun untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pelanggan. -K! ONLINE