SEPANG – Pasukan Ducati menganggap Yamaha masih menjadi pesaing utamanya pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini berikutan kejayaan pasukan tersebut merangkul gelaran dunia menerusi Fabio Quartararo.
Meskipun Ducati menutup saingan musim lalu dengan cemerlang apabila meraih 14 podium, namun pasukan Itali itu terpaksa akur dengan kehebatan Yamaha, terutama Quartararo dilihat konsisten sepanjang perlumbaan.
Melihat kepada fakta tersebut, Pengurus Besar Ducati, Luigi Dall’Igna berkata, Yamaha masih menjadi pencabar utama pada musim 2022 nanti.
“Sukar untuk menilai cabaran yang bakal diharungi pasukan kami, tetapi saya fikir Yamaha tetap menjadi pesaing terkuat musim ini.
“Mereka (Yamaha) memiliki pelumba yang sangat baik seperti Fabio Quartararo, malah berjaya membentuknya menjadi juara dunia.
“Sudah pasti, Yamaha antara pasukan yang bakal memberi tentangan hebat pada perlumbaan musim ini,” katanya.
Selain Quartararo, Yamaha turut membawa masuk Franco Morbidelli untuk memperkukuhkan kedudukan mereka yang berhasrat untuk mempertahankan kemenangan pada musim lalu.
Pada musim 2022, Ducati menjadi pasukan terbesar berada dalam grid perlumbaan selepas menurunkan lapan jentera Desmosedici menerusi pasukan Ducati Lenovo, Gresini Racing, VR46 dan Pramac Racing. – AGENSI