KUALA LUMPUR – Angkara menipu urusan tempahan pakej perkahwinan, seorang bapa dan anak lelakinya ditahan polis di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang merupakan seorang kerani pada Khamis lalu.
“Mangsa seorang wanita berusia 24 tahun telah mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan daripada sebuah syarikat sekitar Mei lalu untuk menjalankan majlis perkahwinan miliknya.
“Wanita itu telah membuat bayaran sebanyak RM7,265 bagi dewan, katering, pakaian pengantin pasangan serta jurugambar namun tidak diberikan perkhidmatan yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, susulan itu sepasukan polis telah memberkas seorang bapa berusia 57 tahun dan anak lelakinya berusia 25 tahun di Lembah Klang.
“Keduanya telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan polis turut merampas beberapa dokumen serta telefon bimbit.
“Polis mengesyaki ramai lagi mangsa yang terlibat dalam kes penipuan pakej perkahwinan terbabit dan mangsa yang terlibat diminta untuk tampil membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya. – K! ONLINE