fbpx

13 pemandu mabuk, 7 pesalah trafik ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi mingguan dijalankan JSPT KL di sekitar ibu kota berjaya mengeluarkan sebanyak 3144 saman keatas pesalah trafik.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 pemandu mabuk dan tujuh pesalah trafik ditahan menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota di sini, malam tadi.

Operasi mingguan itu bermula pada Jumaat lalu dengan kekuatan 80 pegawai serta anggota polis dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menahan tujuh orang lelaki kerana menunggang dalam keadaan berbahaya, melakukan aksi zig-zag, roket dan superman.

“Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 22 tahun itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Sementara itu, 13 orang lelaki berusia lingkungan 28 hingga 50 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 45A APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Tambah Sarifudin, hasil kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mengeluarkan sebanyak 10 saman ke atas penunggang motosikal kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut beliau, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 3144 saman atas pelbagai kesalahan termasuk menyita 35 buah motosikal kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI