STATUS penglibatan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini terjawab.
Ia selepas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh mengesahkan penyertaan skuad juara bertahan itu yang akan berentap dengan enam pasukan.
“Saya mendapat banyak panggilan mengatakan UniKL tidak bermain. Jangan dengar khabar angin kerana sekarang sudah ada bukti UniKL akan tetap beraksi (MHL 2022).
“Pendaftaran sudah ditutup pada 25 Januari lalu. Ada tujuh penyertaan pasukan lelaki bertanding iaitu THT (Pasukan Hoki Terengganu), TNB (Tenaga Nasional Berhad), TNB Thunderbolts, Maybank, Nurinsafi Sporting, UniKL dan UiTM.
“Empat pemain import dibenarkan untuk satu pasukan tetapi sekarang bukan masa sesuai ambil import kerana perlu ikut banyak SOP (prosedur operasi standard) dengan baki dua minggu sahaja lagi sebelum kejohanan bermula,” katanya.
Saingan wanita menyaksikan enam pasukan sah mengambil bahagian iaitu Sabah, KPT-Uniten Thunderbolts, Mutiara Impian MSSPP-PSHA, Negeri Sembilan Girls, Sarawak dan pasukan pembangunan kebangsaan.
Katanya, tarikh penganjuran MHL 2022 bermula 18 Februari ini hingga Jun nanti dipendekkan ke hujung Mac kerana mahu memberi lebih masa kepada pasukan kebangsaan berlatih.
“Kita awalkan kepada penghujung Mac kerana takut bercanggah dengan kalendar FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) dan AHF (Persatuan Hoki Asia),” jelasnya.