PUTRAJAYA – Trend tular pengantin baru bernikah yang mempertontonkan aksi pakaian dilucutkan pasangan di bilik pada malam pertama melalui wadah media sosial adalah haram.
Demikian peringatan tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi pencerahan terbaharu dalam kolum Irsyad al-Fatwa yang disiarkan pautan laman agensi itu semalam.
“Perlakuan ‘unboxing by husband’ itu adalah sama seperti menceritakan mukadimah atau permulaan perbuatan jimak kepada orang lain dan trend sebegini adalah haram,” jelasnya.
Pandangan PWMP itu selari dengan teguran bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai trend berkenaan yang menjadi ikutan pengantin baharu.
Mengulas lanjut, PMWP berkata, meskipun pelaku mungkin berniat baik menggambarkan nikmat perkahwinan setelah hubungan sah dihalalkan namun mudarat adalah lebih besar.
“Pendedahan itu dibimbangi menggalakkan maksiat bagi yang belum bernikah kerana hubungan intim adalah wilayah peribadi dan tidak patut diceritakan atau dipertontonkan,” tambahnya.
PMWP merujuk hadis Rasulullah S.A.W riwayat al-Bukhari yang pernah memberi ancaman kepada orang tiada perasaan malu sebegitu dan perlu bersedia menanggung azabnya kelak.
Sebaliknya baginda menerusi riwayat al-Nasaie pernah bersabda bahawa Allah menyukai hamba-Nya yang mempunyai sifat malu dan menutup aib daripada terdedah kepada umum.
Justeru, seseorang suami itu perlulah memainkan peranan memastikan pasangannya menjaga kehormatan dan jika sebaliknya, dia akan tergolong dalam kelompok lelaki yang dayus.
“Bahkan Nabi Muhammad S.A.W dalam hadis riwayat Muslim ada bersabda bahawa lelaki paling teruk di sisi Allah pada hari kiamat ialah yang menyebarkan rahsia isteri,” kata PMWP. -K! ONLINE