PETALING JAYA – Pelakon Fasha Sandha mengakui masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata baharu walaupun suami tercinta, Aidil Aziz memintanya untuk hamil lagi tahun ini.
Kata Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, sekarang bukan masa sesuai untuk berbadan dua dan melihat tempoh beberapa tahun lagi sebagai paling ideal untuk kembali hamil.
“Saya memang sukakan kanak-kanak sejak zaman anak dara lagi. Dulu kalau ada masa lapang, saya sanggup angkut anak jiran bawa jalan ke mana-mana.
“Tapi sekarang, cukuplah dulu ada tiga anak. Nak tambah lagi anak, lambat lagi. Aidil memang cakap nak ‘baby boy’ pula tahun ini.
“Sejujurnya, saya belum bersedia. Saya sibuk dengan komitmen dan kerja-kerja seni serta duta produk,” katanya yang baru-baru ini dilantik sebagai duta produk vitamin C, Gebu Glow.
Sambil berseloroh, kakak kepada pelakon Elisya Sandha itu berkata, golongan suami hanya tahu ‘meminta’ sahaja.
“Suami ini tahu minta saja, tapi yang usung kandungan sampai sembilan bulan, orang perempuan juga.
“Tapi andai Tuhan beri rezeki hamil lagi, saya terima. Saya baru 37 tahun. Mungkin sebelum masuk usia 40, saya boleh beranak lagi,” katanya.
Terdahulu menerusi perkahwinan pertamanya bersama Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 2012, Fasha dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 9, dan Putri Raysha Jemyma, 8.
Sementara hasil perkongsian hidup dengan Aidil pula, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Aisha Amaira yang kini berusia dua tahun. – K! ONLINE