GEORGE TOWN – Bimbang anak rosak akhlak dan kurang percaya akan kebolehan bekas suami menjaga anak dengan sempurna menjadi alasan utama ibu tunggal enggan melepaskan anak
mereka berada di bawah jagaan bekas suami.
Mereka turut meluahkan kebimbangan akan masa depan anak mereka sekiranya ditinggalkan bersama keluarga bekas mentua berbanding ibu bapa kandungnya sendiri.
Seorang ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Fatihah, 26, berkata, dia meragui peranan dan kebolehan bekas suami dalam urusan penjagaan anak disebabkan jauh dari pandangan matanya.
Akui Fatihah, meskipun mahkamah memerintahkan bekas suami hanya mendapat hak penjagaan dan bermalam bersama anak selama dua hari seminggu tetapi dia masih memendam perasaan bimbang akan keselamatan anaknya setiap kali berada di bawah jagaan lelaki itu.
Cerita Fatihah, kegagalan menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan bersikap pentingkan kawan membuatkan dia berasa kurang selesa menyerahkan anak tunggalnya itu kepada bekas suami.
“Semasa belum bercerai, suami lebih pentingkan kawan-kawan daripada saya dan anak. Mana mungkin saya hendak percayakan dia boleh jaga anak,” jelasnya.
Ujarnya, perceraian berlaku disebabkan mereka tiada lagi persefahaman biarpun baru lima tahun mendirikan rumah tangga.
“Tahun lalu mahkamah telah memutuskan hak jagaan anak tetap diberikan kepada bekas suami pada setiap hujung minggu pertama dan kedua berkuat kuasa bulan lalu.
“Rasanya itu sudah memadai,” ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal yang juga mahu dikenali sebagai Ina, 28, pula memberitahu, dia dan bekas pasangannya mengambil keputusan untuk menjaga anak tunggalnya berusia lima tahun bersama-sama biarpun berpisah sejak dua tahun lalu.
“Anak mengalami masalah sukar bercakap dan kerap menyendiri sejak saya berpisah dengan bekas suami. Itu mungkin trauma yang ditanggung anak sebab perceraian ini, jadi kami nekad menjaganya bersama-sama.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, golongan bapa tunggal mendakwa mereka menghadapi masalah untuk menjaga anak selepas berlaku perceraian disebabkan bekas isteri akan mendapat lebih hak penjagaan.
Ada kes yang hanya dibenarkan melihat anak menerusi panggilan video sahaja malah ada berjumpa anak setiap dua minggu sahaja. -K! ONLINE