fbpx

Shahir pemalu, bukan sombong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KATA Shahir, dirinya tidak lagi mengejar populariti seperti 12 tahun lalu sewaktu bermula dalam dunia seni suara.

PETALING JAYA – Penyanyi Shahir Zawawi mengakui sikap pemalu yang masih menebal membuatkan dirinya jarang memuat naik hantaran dalam media sosial.

Ujar pemilik nama lengkap, Ahmad Shahir Zawawi itu, bukan sombong atau enggan berkongsi perkembangan semasa dengan peminat, sebaliknya merasakan dirinya tiada aktiviti istimewa untuk dipaparkan kepada umum kecuali perihal membabitkan kerja.

“Saya memang ada akaun Instagram, Twitter dan Facebook yang kembali ‘hidup’ apabila saya terbabit dengan kerja seni macam terbaharu adalah ketika menyertai program realiti, Hijrahkan Laguku.

“Sebelum masuk rancangan terbitan TV AlHijrah itu, saya sibuk menguruskan perniagaan, jadi tak banyak masa untuk kemaskini perkembangan terutama dalam media sosial.

“Mungkin sebenarnya saya masih segan sebab tak tahu nak ‘update’ pasal apa. Jadi banyak hantaran lebih menjurus kepada persembahan pentas serta aktiviti seni berbanding gambar peribadi.

“Bukan apa, kalau terlampau berkongsi semua perkara takut orang jelak. Sekarang pun saya masih cuba manfaatkan medium ini sebaik mungkin selain tetap berpada-pada menggunakan laman sosial,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sebelum ini, kelibat juara Akademi Fantasia (AF8) itu pernah beberapa kali tenggelam timbul dalam arena hiburan biarpun mempunyai reputasi dan diminati ramai sejak kemunculannya pada 2010.

Ramai tertanya-tanya mengenai kehilangan figura yang disenangi disebabkan personaliti sebagai lelaki budiman selain menjadi selebriti contoh kental pegangan agama.

Kini selepas empat tahun menyepi, Hijrahkan Laguku menjadi platform kemunculan semulanya bersama imej rambut melepasi bahu tetapi masih tampak pemalu seperti dulu.

Katanya yang lebih selesa membawakan lagu ketuhanan dan kemanusiaan, perjalanan yang diatur kini lebih tenang sehingga tiada sebab untuknya menghilangkan diri lagi.

“Pada usia ini, saya semakin matang mendepani kehidupan serta menyeimbangkan kerjaya antara seni muzik dan perniagaan yang sudah tentu ada cabaran tersendiri.

“Bagi saya setiap individu ada fasa masing-masing yang melalui pasang surut. Insya-Allah dengan nawaitu ingin berkongsi hiburan bermanfaat kepada semua, saya akan cekalkan hati.

“Selepas Hijrahkan Laguku, saya juga bakal keluarkan single yang diharap dapat saya perdengarkan kepada umum bulan ini,” kata Shahir, 33.

Shahir mengulang semula sejarah Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) kira-kira 12 tahun lalu apabila menjulang trofi juara Hijrahkan Laguku sekali gus membawa pulang RM100,000.

Penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu berjaya menewaskan tiga lagi pesaing di pentas akhir pada 8 Januari lalu iaitu Datuk Nash, Iwan Shaman serta Mark Adam.

Tambah Shahir yang masih solo,  kemenangan kali tersebut dirasakan sedikit berbeza berbanding ketika menjulang kejuaraan AF8.

“Sekarang saya bukan mengejar populariti apatah lagi kemenangan kerana memang sejak awal tujuan menyertai program ini adalah mahu menggunakan platform nyanyian bagi menyampaikan sesuatu,” luahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI