PUTRAJAYA – Meskipun usianya beroperasi belum cukup lima tahun namun IKEA Tebrau di Johor mendapat pengiktirafan atas usaha amalan terbaik pengurusan sisa pepejal komersial.
Perakuan tersebut disahkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam satu acara ringkas yang diadakan di gedung perabot ternama itu semalam.
Sijil penghargaan diserahkan oleh Pengarah Bahagian Sisa Industri, Komersial dan Institusi SWCorp, Mazwin Mohamad kepada Pengurus Fasiliti Kelestarian IKEA Tebrau, M. Rajendran.
Menurut kenyataan agensi tersebut, premis jenama Sweden terbesar di rantau Asia Tenggara itu komited dalam usaha memberi inspirasi bagi mewujudkan imej kelestarian alam sekitar.
“Ia dilaksanakan melalui penggunaan sumber bahan boleh diperbaharui dan dikitar semula seperti di kafeteria yang mengasingkan sisa makanan dan dikumpul amat baik,” kata SWCorp.
Uniknya, ia kemudian dibawa ke tapak pemprosesan baja organik di Folo Farm, Ulu Tiram yang secara tidak langsung mengurangkan jumlah sisa makanan di tapak pelupusan sampah.
Mengulas lanjut, kenyataan tersebut menambah, gergasi perabot negara Skandinavia itu juga menempatkan ruang pengasingan sisa di kawasan sesuai tanpa mengganggu pengunjung. -K! ONLINE