KUALA LUMPUR – Seramai 75 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam serbuan di pusat hiburan di Bukit Jalil dan Jalan Pudu, di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, siasatan mendapati dua premis itu melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN Fasa 4 2021 yang masih dikuatkuasakan ketika ini.
“Kedua-dua pemilik premis dikompaun RM1,000 setiap satu manakala 75 pengunjung pula dikenakan kompaun RM1,000 seorang.
“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah RM2,000 bagi pemilik premis dan RM75,000 bagi pengunjung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, sejak 1 Januari lalu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 238 kompaun dengan nilai keseluruhan RM238,000 ke atas mereka yang gagal mematuhi SOP Covid-19.- K!ONLINE