LONJAKAN kluster pendidikan yang dilihat semakin parah mencetus kebimbangan dalam kalangan ibu bapa apabila mereka dilihat kurang yakin untuk menghantar anak-anak ke sekolah ketika ini.
Sebahagian daripada mereka mendakwa tiada tindakan proaktif daripada pihak-pihak tertentu bagi membendung penularan Covid-19 menyebabkan kes jangkitan semakin bertambah.
Sekiranya disahkan positif dan perlu kuarantin, soal pembelajaran pula membelenggu ibu bapa apabila mereka khuatir anak-anak tidak mendapat pendidikan sempurna.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melaporkan, sebanyak 160 kluster pendidikan direkodkan dan sebanyak 14 sekolah ditutup dalam tempoh 1 Januari hingga 2 Februari 2022.
Menurutnya, kesemua 160 kluster pendidikan itu dikesan berada dalam kategori satu hingga tiga.
Bagaimanapun sikap menunding jari segelintir masyarakat yang sering menyalahkan pihak lain terutama sekolah dalam isu peningkatan kluster pendidikan bukan jalan penyelesaian.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Malina Osman berkata, pencegahan penyakit memerlukan komitmen setiap individu sama ada pihak berkepentingan atau masyarakat itu sendiri.
“Pihak berwajib selaku pembuat polisi dan penguat kuasa, masyarakat pula yang melaksanakan tanggungjawab di peringkat individu serta semua agensi perlu berkolaborasi antara satu sama lain.
“Kesilapan paling besar kini apabila masyarakat masih tidak mampu mengambil tanggungjawab ke atas kesihatan diri mereka sendiri sebaliknya meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak berwajib semata-mata,” katanya.
Tambah Malina, semua pihak perlu saling mengingatkan antara satu sama lain untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19.
“Jangan suka-suka langgar SOP, ambil vaksin dan pastikan membuat ujian saringan jika terdedah kepada risiko jangkitan.
“Pihak berwajib pula perlu meneruskan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan semua pihak berganding bahu dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk pelajar kembali bersekolah.
“Pengambilan vaksin adalah langkah paling baik untuk mengelakkan jangkitan yang boleh menyumbang kepada kluster pendidikan. Ambil inisiatif daftar anak-anak lima hingga 11 tahun untuk mendapatkan perlindungan.
“Pergantungan kepada SOP biasanya tidak dapat bertahan dalam tempoh berpanjangan,” ujarnya.
Sementara itu, ibu kepada empat orang anak, Noraini Omar, 49, menyarankan agar ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta mendidik mereka agar sentiasa menjaga kebersihan diri.
“Ibu bapa berperanan membuat ujian kendiri sekurang-kurangnya dua minggu sekali sebagai langkah berjaga-jaga sebelum menghantar anak ke sekolah. Langkah ini perlu terutamanya selepas berkunjung ke tempat orang ramai.
“Didik anak tentang kebaikan vaksin supaya mereka tidak terdedah kepada ancaman berita palsu di media sosial mahupun golongan antivaksin,” katanya. -K! ONLINE