BANYAK betul kemalangan jalan raya yang berjaya dirakam oleh ‘dashboard camera’ dalam tempoh dua minggu lepas. Kebanyakannya berpunca daripada sikap pemandu yang bagaikan tidak tahu undang-undang ketika di jalan raya sehingga mengundang bahaya kepada orang lain.
Memandu secara melulu, berlumba termasuklah buat pusingan U di tempat yang tidak sepatutnya bagaikan sudah menjadi kebiasaan. Yang langgar lampu merah pun sama, baik motosikal mahupun kereta, berlambak sekarang ini.
Inilah senario yang terpaksa dihadapi para pemandu di jalan raya ketika ini. Walaupun perbuatan tersebut hanya dilakukan segelintir orang, namun kesannya terhadap keselamatan dan nyawa pengguna jalan yang lain amat buruk sekali.
Mengapa masalah ini boleh berlaku? Bagaimana mereka boleh mendapat lesen memandu? Sekolah memandu tak ajar ke mereka ini cara memandu yang betul?
Pokok pangkal kepada semua permasalahan pemandu di atas ialah pelanggaran peraturan. Kerana mereka, jalan raya menjadi tempat yang tidak selamat.
Begitulah juga yang akan terjadi kepada negara, institusi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat, bahkan institusi keluarga yang akan rosak kerana sikap melanggar peraturan ini.
Apabila semakin ramai dalam kalangan kita terutamanya mereka yang diamanahkan untuk memikul tanggungjawab tertentu mulai ‘melanggar’ peraturan, maka negara akan runtuh.
Lebih malang jika mereka yang berkuasa atau diberi amanah ini turut bersekongkol dengan pihak-pihak ‘pelanggar’ undang-undang ini demi mendapat habuan yang sedikit tanpa memikirkan kepentingan negara yang lebih besar.
Kisah klasik untuk dijadikan teladan ialah kes seorang penganggur yang bertindak memenggal kepala ibu kandungnya sendiri hanya kerana tidak diberi wang untuk membeli dadah di Kampung Baru Pasir Penambang pertengahan bulan lepas misalnya, telah memperlihatkan kepada kita tentang buruknya akibat pelanggaran peraturan ini.
Bermula daripada penyeludup, pengedar, penjual dan lebih parah kalau ada pihak yang ‘melepaskan’ atau ‘memejamkan mata’ dengan habuan tertentu sehingga dadah itu boleh sampai ke tangan anak-anak kita, maka lahirlah anak bangsa yang sanggup membunuh ibunya.
Begitulah juga halnya dalam urusan untuk memilih pemimpin. Jika seseorang itu sibuk menabur wang supaya dirinya dipilih, orang itu sebenarnya jelas tidak layak untuk dijadikan pemimpin kerana dia secara terang-terangan menunjukkan perilaku buruk dirinya.
Bayangkan bagaimana keadaannya apabila kita dipimpin oleh seorang pemberi rasuah dan lebih malang jika yang memilihnya pula terdiri daripada mereka yang memakan rasuah.
Oleh itu, patuhilah peraturan kerana jika jalan raya pun boleh jadi huru-hara kerana adanya pelanggar undang-undang, jadi bayangkanlah jika negara kita dipenuhi dengan pelanggar peraturan. -K! ONLINE